Saturday, April 23, 2011

PM Terima Kunjungan Hormat Imam Besar Masjidil Haram

PUTRAJAYA 22 April — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Abdul Aziz As-Sudais, yang kini dalam rangka lawatan tujuh hari ke negara ini bermula Isnin lalu.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah anak Imam Besar, Suhaib; Duta Arab Saudi ke Malaysia Mohamad Reda Abu Al-Hamayel; dan Atase Agama Kedutaan Arab Saudi ke Malaysia Sheikh Abdul Rahman Atallah.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Najib berkata kunjungan Imam Besar itu merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha-usaha kerajaan Malaysia bagi menegakkan Islam di negara ini.

"Saya percaya kalau dia melihat di sini ada banyak kepincangan dari segi kita mengamalkan Islam, saya percaya dia tidak akan datang ke Malaysia.”

"Keputusan dia datang itu dengan sendirinya merupakan satu pengiktirafan atas apa yang telah dilakukan oleh kita selama ini untuk umat Islam dan untuk menegakkan Islam di Malaysia," katanya.

Najib berkata dalam pertemuan kira-kira 40 minit itu, Abdul Rahman turut melahirkan penghargaannya terhadap Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh, selain mengagumi perkembangan dan dakwah Islamiah di negara ini.

Beliau berkata Abdul Rahman turut menyatakan bahawa hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi, amat mantap dan akrab, dan kedua-dua negara perlu terus bekerjasama demi kepentingan umat Islam.

"Beliau juga memuji tingkah laku jemaah haji Malaysia yang diharap akan jadi contoh kepada jemaah haji dari negara-negara lain sebab kita menguruskan mereka dengan begitu tertib dan sopan," kata Najib.

Perdana Menteri berkata, Imam Besar itu menghargai Malaysia kerana menyanjungi usaha kerajaan Saudi dalam konteks menentukan kestabilan negara itu dan negara-negara jirannya supaya Baitullah dan Masjid Nabawi terselamat dan tidak akan diganggu gugat dalam apa jua keadaan.

Abdul Rahman dijadual menyampaikan ceramah di Masjid Kg Baru Kuala Lumpur malam ini.

Esok, beliau akan menghadiri majlis perasmian seminar "Berpegang Kepada Al-Quran dan As-Sunnah" di ibu negara, sebelum berlepas pulang pagi Ahad. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment