Sunday, October 2, 2011

HUDUD PAS, DAP MENANG LAGI


Jangan Kong Kali Kong… DAP, PKR Mesti Perjelas Pendirian Tentang Hudud


DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menyatakan pendirian jelas berhubung pelaksanaan hukum hudud memandangkan Pas sudah bertekad untuk meneruskan undang-undang itu di Kelantan dan seterusnya di negara ini, jika pembangkang mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan pembangkang itu perlu segera menzahirkan pendirian sebenar mereka, dan tidak mengelirukan rakyat dan meletakkan mereka dalam keadaan tidak menentu.
“Yang penting sekarang bukan soal pendirian Barisan Nasional (BN) tetapi pendirian parti lain dalam PKR itu sendiri. Sebelum ini mereka telah menyatakan tidak setuju pelaksanaan hukum hudud, tetapi Pas masih bertekad untuk teruskan.
“Ini memberi kesan kepada rakyat yang perlu fikir dan membuat pilihan pada PRU nanti,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada seminar bersama pemimpin penjawat awam Malaysia-Singapura 2011 di sini, hari ini.
Mesyuarat Majlis Pimpinan Pembangkang (MPP) selama tiga jam Rabu lepas tidak menyatakan secara jelas pendirian mereka berhubung isu hudud.
Sebaliknya, Penasihat PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata isu hudud telah dilihat dari sudut dasar-dasar bersama yang dipersetujui seperti yang terkandung dalam Perlembagaan, dasar bersama pembangkang dan Buku Jingga.
Muhyiddin menggesa Anwar, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk ‘bersuara’ dengan jelas dan tidak lagi berdolak-dalik dalam isu itu.
“Setakat ini yang konsisten hanya Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat). Biar Anwar, Karpal dan Hadi cakap dengan jelas apa pendirian mereka, kerana bukan sahaja orang Islam, tetapi orang bukan Islam juga mahu tahu apa pendirian pakatan pembangkang dalam soal ini.
“Eloklah pihak media tanya mereka apa pendirian rasmi pakatan pembangkang, biar mereka jelaskan perkara sebenar atau kalau tak boleh sangat, buatlah kenyataan media dan bacakan sahaja,” katanya.
Mengulas cadangan pembentangan bajet alternatif pakatan pembangkang minggu depan, Muhyiddin berkata beliau yakin ia akan membentangkan “bulan dan bintang” seperti yang dijanjikan ketika mahu menubuhkan kerajaan alternatif.
Pakatan pembangkang akan membentangkan bajet alternatif pada 4 Okt, iaitu tiga hari sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat Jumaat ini.
Ditanya mengenai desakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) supaya dua ahli perniagaan Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan dan Datuk Mohamed Azman Yahya memberi penjelasan berhubung pertemuan mereka dengan pemimpin kanan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Muhyiddin berkata, ia terpulang kepada individu terbabit.
“Saya tidak tahu apa yang dibincangkan. Mungkin juga pertemuan itu atas kapasiti (Lim) sebagai Ketua Menteri (Pulau Pinang) dan oleh kerana kerajaan Singapura diterajui oleh parti PAP, pertemuan dengan wakil kerajaan juga mestilah dengan mereka daripada PAP, jadi itu perkara biasa.
“Kita jangan mudah melenting dan buruk sangka. Mungkin pertemuan itu untuk kepentingan bersama,” katanya.
Semalam, Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim mendesak kedua-dua ahli perniagaan itu menjelaskan perkara yang dibincangkan pada jamuan malam 12 Ogos lepas.

No comments:

Post a Comment