Monday, August 8, 2011

SALAH SIAPA?

Omegay: Pakatan Rakyat pakat2 nak murtadkan umat?

Gerakan berani Kristian, salah siapa?

2011/08/08

Kejadian di Gereja Methodist Damansara Utama harus buka mata kita

AGAMA lain khususnya Kristian, dengan secara terancang, mahu umat Islam menganut kepercayaan mereka, bukan perkara baru. Malah sejarah membuktikan usaha sedemikian dilakukan terhadap umat Islam di seluruh dunia bermula sejak sebelum Perang Salib lagi. Justeru, laporan mengenai satu jamuan amal tahunan dan ‘berbuka puasa’ di Gereja Methodist Damansara Utama cuba menyebarkan dakyah Kristian kepada sekumpulan orang Islam, sehingga diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis, bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Hakikatnya, memang semakin ramai orang Melayu Islam memeluk Kristian hasil dakwah dan pujukan halus pertubuhan agama itu seperti yang dilaporkan oleh akhbar ini sejak kelmarin. Memanglah pemimpin Kristian tempatan tidak akan dan tidak mungkin mengaku perkara itu, apa lagi Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, jelas melarang perbuatan itu. Jika orang Melayu/Islam bukan menjadi sasaran pertubuhan dan gereja Kristian ini, kenapa mereka beriya-iya benar membawa masuk Bible berbahasa Melayu dan mahu menggunakan istilah ‘Allah’ tidak lama dulu.
Bagaimanapun, pertubuhan atau gereja Kristian saja tidak harus disalahkan apabila semakin ramai orang Melayu/Islam termakan dengan dakwah dan dakyah mereka. Kita juga akan berbuat demikian jika mempunyai ruang dan peluang untuk mengajak penganut agama lain, memeluk Islam. Kejadian di Gereja Methodist Damansara Utama itu seharusnya membuka mata kita kenapa gejala ini semakin membimbangkan sekarang.

Difahamkan, sebahagian besar daripada 50 orang Islam yang hadir dalam majlis di Gereja Methodist Damansara Utama pada Rabu lalu itu ialah untuk mendapatkan bantuan. Akhbar ini semalam menyiarkan pengakuan seorang ibu tunggal bagaimana dia terpaksa menerima bantuan gereja untuk menyara hidup bersama empat anaknya selepas gagal menerima bantuan berterusan daripada Baitulmal.

Kes ini, mungkin terpencil tetapi selain membuktikan memang wujud usaha mengkristiankan orang Melayu secara halus, ia juga mendedahkan kelemahan agensi yang diamanah untuk mengendalikan zakat dan sumbangan umat Islam bagi membantu golongan seperti itu. Tidak ada gunanya saban tahun mereka mengumumkan kutipan berjuta ringgit tetapi realitinya ada umat Islam meninggalkan agama kerana kemiskinan dan kesukaran hidup.

Berbeza dengan pemimpin gereja dan pendakwah Kristian yang menggunakan pendekatan pujukan, kebanyakan pemimpin agama atau ulama kita lebih cenderung untuk menghukum daripada membetulkan. Malah sesama yang bergelar ulama pun saling bersaing dan menuduh mengenai Islam siapa yang betul. Apabila ada kes murtad dalam kalangan umat Islam, mereka menyalahkan ibu bapa, budaya Barat, sekolah, kerajaan dan pelbagai pihak lagi kecuali diri sendiri.

Serbuan JAIS itu juga menunjukkan betapa kepentingan politik kini mengatasi kepentingan mempertahankan kesucian agama. Memang tindakan JAIS atau majlis agama Islam lain sering dilanda kontroversi terutama apabila membabitkan premis, sama ada rumah ibadat atau pusat hiburan yang turut dikunjungi bukan Islam. Serbuan JAIS malam Rabu lalu tidak terkecuali.
Seperti kes seumpamanya sebelum ini, tindakan itu dikecam oleh pemimpin politik bukan Islam, pertubuhan bukan kerajaan dan tokoh Islam liberal. Malangnya, JAIS kali ini turut dikecam oleh beberapa pemimpin kanan PAS. Malah, EXCO Agama kerajaan negeri, Datuk Dr Hassan Ali, yang mempertahankan serbuan JAIS itu, bukan saja dikecam secara terbuka oleh rakan-rakan dalam parti sendiri tetapi mungkin berdepan tindakan disiplin daripada Jawatankuasa Pusat PAS.

Kalau dulu, PAS lah yang pertama mempertahankan tindakan sedemikian, ia kini menjadi sebaliknya. Ini kerana perjuangan menegakkan negara Islam parti itu telah bertukar kepada mewujudkan negara kebajikan. Lagipun sebahagian besar barisan kepemimpinan PAS sekarang memang lebih berfikiran liberal. UMNO pula tidak mungkin campur tangan kerana kes ini berlaku dalam negeri yang ditadbir kerajaan pakatan Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS.

Barangkali kerana melihat senario seperti ini, ada pihak semakin berani melakukan sesuatu yang dulu dianggap sensitif terhadap keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Sejak akhir-akhir ini, bukan Melayu/Islam bagaikan boleh bercakap dan menuntut apa saja atas nama kebebasan bersuara. Malangnya, orang Melayu/Islam terus dituduh rasis, kolot, malah mungkin pengganas apabila cuba mempertahankan agama dan hak mereka, walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan. - BH

No comments:

Post a Comment