Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan dipelawa oleh pihak pembangkang memegang jawatan Ketua Pembangkang sebagai persediaan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim disabit bersalah dalam kes liwat yang dihadapinya ketika ini.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, maklumat mengejutkan itu diterimanya pagi ini daripada rakan-rakannya yang masih berada di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau berkata, pucuk pimpinan pembangkang dikatakan telah menemui Tengku Razaleigh baru-baru ini bagi membincangkan perkara tersebut memandangkan kebarangkalian Anwar disabitkan bersalah dalam kes liwatnya adalah besar.
‘‘Saya terkejut menerima maklumat ini kerana tanpa disangka-sangka mereka tawarkan jawatan ini kepada seorang pemimpin lama UMNO. Saya penuh yakin dan percaya Tengku Razaleigh tahu tentang perkara ini.
‘‘Selain menjadi Ketua Pembangkang, saya percaya ini juga sebagai persediaan pihak pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang. Mereka amat memerlukan seorang pemimpin yang berkaliber bagi menggantikan Anwar,’’ katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Zahrain berkata, berdasarkan pengamatannya tindakan terbaru pihak pembangkang itu turut dikaitkan dengan keperluan kepada seorang pemimpin yang mampu meneutralkan Pas dan DAP seperti mana peranan Anwar selama ini.
‘‘Saya juga diberitahu keputusan ini telah dibuat secara kolektif antara pemimpin Pas, DAP dan PKR. Nampaknya, kriteria untuk menjadi Ketua Pembangkang mestilah dalam kalangan pemimpin yang telah lama berkhidmat di dalam UMNO.
‘‘Inilah realiti yang berlaku sekarang. Di dalam pembangkang sendiri tidak ada pemimpin yang boleh menggantikan Anwar. Jika dilantik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah tentu Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak bersetuju dan begitu juga sebaliknya,’’ katanya.
Dalam pada itu Zahrain berharap Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu menolak pelawaan tersebut jika benar ia berlaku demi masa depan orang Melayu yang kini semakin berpecah.
‘‘Di saat orang Melayu yang semakin berpecah, pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Ketua Pembangkang akan memburukkan lagi keadaan. Perpaduan orang Melayu akan bertambah parah,’’ katanya.
Zahrain berkata, pihak yang pasti gembira dengan perkembangan terbaru itu sudah tentu DAP kerana sememangnya parti berkenaan mahu melihat orang Melayu berpecah-belah.
Ketika ditanya sejauh mana kesahihan maklumat tersebut, Zahrain berkata, beliau yakin perkara tersebut berlaku dan sekiranya dakwaan itu tidak benar, Tengku Razaleigh perlu tampil menjelaskan kedudukan sebenar.
Beliau turut yakin perkembangan terbaru itu juga menunjukkan saat kehancuran PKR semakin hampir apabila parti berkenaan ketandusan pemimpin berkaliber.
No comments:
Post a Comment