Tindakan Datuk Najib Kemas dan Bijak
Tindakan yang diambil oleh PM iaitu menawarkan stadium untuk penganjur perhimpunan mengadakan perhimpunan adalah satu langkah yang bijak dan bertanggungjawab. Tindakan penganjur menerimanya juga satu langkah bagus. Bagus dari segenap sudut. Bagus dari sudut keselamatan serta imej negara dan bagus juga untuk politik kepada PM dan BN. Akhirnya penganjur yang keras kepala sebelum ini tunduk kepada seorang PM dari parti yang mereka keji,caci dan hina.
Suara-suara batu api mula kedengaran sejak semalam sebaik sahaja penganjur perhimpunan menyatakan persetujuan menerima tawaran PM supaya perhimpunan yang dirancang di jalan raya dipindahkan ke dalam stadium.
Ada yang kata PM bekerjasama dengan pertubuhan haram kerana bersetuju berunding serta membenarkan pertubuhan haram mengadakan perhimpunan di stadium.
Satu perkara yang kita harus ingat dalam hal ini. Selain menjadi Pengerusi BN dan Presiden Umno , Datuk Najib juga adalah seorang PM. Maknanya Datuk Najib pakai 3 baju utama. Ada lagi baju-baju lain yang dipakainya. Setiap baju yang dipakainya mempunyai tanggungjawab serta tugas yang berbeza.
Sekarang saya nak bercakap pasal tugas Datuk Najib sebagai seorang PM. Tanggungjawab serta tugas Datuk Najib sebagai seorang PM berbeza dengan dua tugasnya yang lain. Sebagai seorang PM , Datuk Najib bertanggungjawab ke atas semua rakyat negara ini tanpa mengira fahaman politik, agama , bangsa atau mazhab.
Dalam isu perhimpunan jalanan yang dirancang sabtu ini adalah menjadi tugas PM untuk memastikan tidak ada perkara-perkara buruk yang berlaku. Soal mereka pertubuhan haram atau halal itu dah jadi perkara kedua. Soal keselamatan rakyat yang perlu diutamakan. Tambahan pula apabila benda pelik-pelik telah djumpai oleh polis semalam. Bermacam-macam perkara boleh berlaku jika kerajaan terus membiarkan mereka berhimpun dan berarak di jalan raya. Jika perkara buruk itu tidak dilakukan oleh mereka sekali pun , boleh jadi ianya akan dilakukan oleh pihak-pihak asing yang sentiasa menunggu peluang untuk menghancurkan Malaysia. Kita kena ingat balik apa yang dituturkan oleh Shamsul Iskandar dan anak Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah kata rakyat Malaysia harus mengambil semangat apa yang terjadi di Dataran Tahrir , Kaherah , yang mana dalam kejadian itu lebih 800 orang yang terbunuh dan ribuan yang cedera. Manakala Shamsul Iskandar pula menghasut agar kerajaan digulingkan melalui jalan raya.
Apakah kita mahu itu terjadi ? Mungkin Ambiga tidak berniat untuk melakukan begitu, tetapi bagaimana pula dengan mereka-mereka yang telah memasang niat untuk melakukan begitu dalam perhimpunan tersebut ?
Polis telah melarang agar perhimpunan tidak dilakukan di jalan raya, tetapi penganjur bertegas hendak melakukannya juga. Dalam perhimpunan yang lepas-lepas pun sama juga, polis larang tapi mereka lakukan juga walaupun penganjurnya seorang MB.
Tapi tindakan polis kali ini agak luar biasa berbanding dengan yang lepas-lepas kerana difahamkan polis telah menghidu sesuatu yang tidak baik yang telah dirancang oleh penganjur atau mereka yang terlibat. Polis telah hidu yang mereka akan melakukan hura-hara. Buktinya dengan penemuan pelbagai senjata semalam.
Sekiranya penganjur tetap mengadakan perhimpunan di jalan raya sabtu ini dan berlaku keganasan yang boleh menyebabkan kematian serta kecederaan seperti mana yang diseru oleh Nurul Izzah , siapakah yang mereka salahkan dan siapakah yang perlu bertanggungjawab ? Sudah tentu PM dan polis yang disalahkan dan mereka perlu menjawabnya.
Peristiwa Memali yang berlaku lebih 20 tahun lalu sampai ke hari ini pun masih lagi dijadikan modal pembangkang.
Kematian seorang yang bernama Teoh Beng Hock yang bunuh diri itu pun boleh membuatkan kerajaan berpeluh jantan untuk menjawabnya, bagaimana pula sekiranya berlaku satu kematian dalam perhimpunan sabtu ini jika mereka terus berhimpun di jalan raya ? Tidakkah berbuih mulut kerajaan dan polis untuk menjawabnya ?
Itu jika berlaku satu kematian, bagaimana pula jika lebih daripada satu yang mati ?
Satu perkara yang kita kena ingat, dalam kepala pemimpin-pemimpin pembangkang bermacam-macam perkara yang mereka fikir supaya timbul huru-hara demi untuk mencari keuntungan politik kepada mereka dalam PRU akan datang.
Tidak mustahil mereka akan menimbulkan huru-hara sesama mereka atau mengupah orang-orang tertentu melakukan huru-hara sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian. Apabila itu berlaku, mereka cepat-cepat lemparkan kesalahan kepada polis dan kerajaan. Mereka akan ceramah keliling negara 24 jam sehari untuk memburuk-burukkan kerajaan serta polis diatas kecelakaan yang terjadi.
Semenjak kejadian rusuhan di Kaherah awal tahun ini ramai pemimpin-pemimpin pembangkang yang meleleh air liur melihatnya dan mahu kejadian itu berlaku di Malaysia. Untuk memastikan impian mereka tercapai mereka sanggup lakukan apa sahaja. Contohnya dalam kejadian seorang peniaga beras yang meninggal dunia semasa dikejar UPP di Kelantan awal tahun ini, seorang pemimpin Pas Kelantan dalam ceramahnya cuba menghasut rakyat agar bertindak seperti rakyat Mesir dan menerangkan kejadian di Mesir bermula dari seorang remaja yang dipukul polis dan satu kempen dijalan melalui FB dan itulah yang membuat rakyat Mesir bangkit di Dataran Tahrir. Taktik serupa cuba diguna pakai dalam kes itu apabila satu laman FB diwujudkan kononnya untuk menuntut keadilan kepada mangsa dan laman FB itu turut dipromosi oleh harakah daily.
Kerajaan yang bijak adalah kerajaan yang mengambil pendekatan berunding dengan musuh. Apabila berunding bukan bermakna kalah. Sebab itu saya puji pendekatan yang diambil oleh Datuk Najib dalam hal ini. Beliau bijak....
Berunding dengan musuh tanpa perlu menggunakan senjata dan menitiskan setitik darah adalah lebih baik dari menewaskannya dengan menggunakan senjata dan mengorbankan ramai orang. Tindakan berunding juga boleh membuatkan kita mengetahui banyak rahsia musuh.
Sebenarnya tindakan berunding dengan pertubuhan haram kali ini bukannya tindakan kali pertama yang diambil kerajaan. Perkara ini pernah berlaku di Baling pada tahun 1955 yang dinamakan Rundingan Baling. Pada masa itu kerajaan bukan sahaja berunding dengan pertubuhan haram, malah berunding dengan pertubuhan pengganas komunis yang diketuai
Chin Peng.
Tunku Abdul Rahman terpaksa mengambil langkah tersebut kerana tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin demi untuk menghentikan pertumpahan darah serta kekejaman terhadap rakyat pada masa itu.Chin Peng.
Tun Dr M , Tun Hanif Omar dan Tan Sri Rahim Noor pernah pergi berunding dengan Chin Peng di Hadyai pada tahun 1989 yang akhirnya menyaksikan PKM meletak senjata. Jika tidak sebelum itu rakyat kita yang tinggal di kawasan yang bersempadan dengan Thailand tidak tenteram hidup kerana takutkan komunis. Saya masih ingat lagi pada waktu itu jalanraya timur barat yang menghubungkan Kelantan dengan Perak hanya boleh dilalui sehingga jam 5 atau 6 petang sahaja. Selepas dari jam itu tidak dibenarkan kerana bimbang serangan komunis. Sebagai PM yang bertanggungjawab Tun mengambil langkah itu demi tanggungjawabnya terhadap rakyat walaupun imejnya mungkin kelihatan tercalar kerana berunding dengan komunis.
Walaupun mereka berunding sampai meletak senjata, kerajaan tidak pernah mengiktiraf pertubuhan haram PKM sehingga ke hari ini.
Kenapa pula pada masa itu tiada pihak yang pertikai kenapa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap pengganas-pengganas komunis dan komunis pula tidak pertikai orang-orangnya yang telah mati kerana bertempur dengan pasukan keselamatan negara ?
Hari ini apabila kerajaan mengambil langkah berunding dengan pemimpin-pemimpin pertubuhan haram Bersih, ada pula ketua pengarang sebuah akhbar yang saya difahamkan pernah bertugas di BTN mempertikaikan dan berpura-pura bertanya soalan kepada kerajaan tentang tindakan yang diambil oleh polis sebelum ini. Komunis pun tak tanya seperti itu, bekas orang BTN pula boleh tanya.
Apabila kerajaan sudi berunding dengan pertubuhan haram dan membenarkan mereka berhimpun bukannya bermakna pertubuhan itu sudah halal.
Masih ingatkah anda pada peristiwa Al Maunah satu masa dulu ? Pihak berkuasa pada mulanya mungkin sukar untuk bertindak kerana bimbang ada kematian dan sudah tentulah pihak berkuasa juga mahu menangkap mereka hidup-hidup kerana untuk memudahkan siasatan dan mengetahui siapa dalang di sebaliknya.
Sebaliknya kumpulan tersebut pula yang membunuh dua anggota keselamatan. Jika hendak bertindak kasar, pihak berkuasa tentera dan polis boleh bertindak kasar. Pasukan elit komando tentera dan polis kita boleh bertindak menembak mati ahli kumpulan berkenaan sekelip mata sahaja.
Tapi oleh kerana kebijaksanaan PM pada masa itu , Tun Dr M , dan Menteri Pertahanan, Datuk Najib, serta dibantu kebijaksanaan anggota-anggota tentera dan polis pada masa itu mereka menggunakan kaedah rundingan. Akhirnya semua ahli kumpulan Al Maunah menyerah diri hidup-hidup dan kini semuanya telah memasuki alam barzakh.
Itulah yang dinamakan buat kerja menggunakan akal fikiran dan bukannya menggunakan emosi. Berundur setapak ke belakang untuk maju seribu tapak ke hadapan.
Sedikit info yang saya dapat berkenaan taktik kotor yang akan digunakan penganjur dan parti-parti politik terlibat sekiranya mereka berdemo di jalan raya pada hari sabtu ini. Formasi susunan mereka semasa berarak menuju ke Istana Negara seperti berikut.
Barisan pertama : OKU yang menggunakan kerusi roda dan orang buta.
Barisan kedua : Kanak-kanak.
Barisan ketiga : Wanita
Barisan keempat : Lelaki
Bayangkan bagaimana polis hendak bertindak dalam keadaan begitu bagi menghalang perakakan. Sekiranya polis melepaskan gas pemedih mata atau tembakan air , keadaan akan kelam kabut dan mereka akan lari lintang punkang. Apabila semua bertempiaran lari apa akan jadi kepada kanak-kanak dan OKU ?
Jika mereka cedera atau mati kerana terpijak siapa yang akan disalahkan dan siapa yang akan menanggung bahana ?
Akhir kata, tindakan Datuk Najib menawarkan stadium kepada penganjur adalah satu langkah bijak yang perlu dipuji. Ianya boleh menyelesaikan banyak masalah. Anggota-anggota polis juga tidak perlu lagi dikerah bertungkus lumus untuk mengawal keadaan pada hari berkenaan. Mereka boleh beri tumpuan kepada tugas hakiki. Sekiranya apa-apa perkara buruk yang berlaku dalam stadium adalah menjadi tanggungjawab penganjur. Mereka tidak boleh lagi salahkan kerajaan atau polis.
No comments:
Post a Comment