Friday, June 3, 2011

Konvoi 2,000 belia desak kerajaan Pas tunai janji

MUSTAPA Mohamed (dua dari kanan) melepaskan konvoi belia bermotosikal menyertai Program Kembara Gelombang Merah di tapak Jambatan Palekbang, Tumpat, Kelantan, semalam.


TUMPAT 3 Jun - Hampir 2,000 belia berbaju merah bermotosikal menjelajah seluruh Tumpat hari ini sebagai simbolik mendesak Kerajaan Pas Kelantan menunaikan kesemua janji sejak mula memerintah negeri ini pada 1990.
Konvoi bermula di depan Balai Polis Palekbang di sini iaitu lokasi terletaknya satu batu 'nisan' yang dipasang Kerajaan Pas Kelantan kira-kira 18 tahun lalu kononnya untuk membina jambatan merentasi Sungai Kelantan menghubungkan antara Kampung Cina di Kota Bharu dan Tumpat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang melepaskan konvoi tersebut berkata, batu asas itu kini umpama batu nisan malah tarikh yang tertulis pada batu asas itu juga sudah tidak kelihatan.
"Pemuda di negeri ini mahu mengingatkan Kerajaan Pas Kelantan mengenai janji-janji mereka yang tidak pernah ditunaikan sejak 1990 malah di sini yang tinggal hanyalah batu nisan.
"Ini merupakan antara janji terawal Pas Kelantan untuk menghubungkan Kota Bharu dan Tumpat, jadi kita sudah banyak kali diberi janji kosong," katanya pada sidang akhbar selepas Program Kembara Gelombang Merah di tapak Jambatan Palekbang, Tumpat di sini petang ini.
Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, terdapat banyak lagi janji yang ditaburkan tetapi sehingga ke hari ini tidak tertunai.
"Di Rantau Panjang pada 2003 juga diadakan majlis untuk membina beberapa ribu buah rumah, mahu buat pusat komersial, pusat industri kecil dan macam-macam lagi.
"Dibuat juga majlis di Kelaboran untuk membangunkan bandar baru begitu juga dengan rancangan pelabuhan darat di Kuala Krai. Semua ini janji kosong," tegas beliau.
Mengulas mengenai konvoi tersebut katanya, ia digerakkan sendiri oleh anak-anak muda kerana mereka menuntut hidup yang lebih baik di Kelantan.
 

No comments:

Post a Comment