Tuesday, May 10, 2011

BAZAR OH BAZAR

Peniaga Melayu terus rasa diri mereka di tipu.
Peniaga kemboja dikelek dan disusukan, diberi pelbagai keutamaan, bagaimanapun peniaga Melayu Kelantan, yang dijanjikan ruang niaga hebat dua hari sebelum Pilihanraya Umum 2008 terus dipinggirkan.
Begitulah rintihan ahli-ahli Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB yang sudah tiada pilihan lain melainkan terpaksa berpindah juga ke Bazar Tok Guru dikini lebih terkenal dengan jolokan Lubang Kubur Tok Guru.
Pada 27hb April 2011, satu mesyuarat telah di adakan diantara Kerajaan PAS Kelantan dengan Wakil Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB bagi menyelesaikan kemelut perpindahan mereka ke Lubang Kubur Tok Guru. Kerajaan PAS Kelantan di wakili oleh YB Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan, Haji Ahmad Yacob, YB Dato’ Anuar Tan dan YB Dato’ Takiyuddin Hassan. Bagaimanapun, wakil persatuan peniaga yang hadir sudah mula merasakan sesuatu yang tidak kena apabila majlis itu bermula dan berkesudahan bukan sebagai sebuah mesyuarat sebaliknya lebih kepada penjelasan segala yang telah diputuskan oleh Kerajaan PAS Kelantan.
Di dalam majlis tersebut Kerajaan PAS Kelantan memaklumkan bahawa pada 2hb Mei 2011, 300 ahli persatuan Pasar Lama MPKB akan dibenarkan memilih ruang tapak niaga pilihan mereka di Bazar Tok Guru.
Perbadanan Menteri Besar Kelantan yang memiliki Bazar Tok Guru itu juga dilaporkan akan memecahkan lebih 30 buah tapak gerai bagi memastikan Lubang Kubur Tok Guru yang mempunyai karektoristik ruang laluan ‘berlaga punggung’ akibat sempit menjadi lebih luas untuk keselesaan para peniaga dan pengunjung.
Akibat tiada pilihan lain dan setelah tawaran seorang ahli perniagaan untuk membeli balik Pasar Lama MPKB tempat ahli persatuan berniaga sekarang tidak dilayan, maka mereka merasakan terpaksa bersetuju untuk masa depan periuk nasi mereka.
Apa yang mengejutkan ialah bila pada 30hb April 2011, dua hari sebelum tarikh pembahagian tapak dijadualkan, telah ada pihak-pihak tertentu membahagi-bahagikan lebih 100 buah tapak gerai kepada orang-orang lain tanpa pengetahuan persatuan peniaga.
Lebih menyedihkan bila persatuan peniaga mendapati, diantara yang diberi keistimewaan menempah tapak niaga lebih awal dari jadual itu ialah peniaga-peniaga kemboja yang didalangi oleh beberapa individu yang rapat dengan pimpinan PAS Kelantan.
Tapak-tapak gerai yang strategik telah habis diberikan kepada ‘golongan istimewa’ ini. Apa yang tinggal untuk pilihan peniaga ialah 250 tapak saki-baki yang tidak dianggap tapak niaga ‘strategik’ oleh ‘golongan istimewa’.
Individu-individu yang rapat dengan pimpinan PAS Kelantan ini juga didakwa menggunakan khidmat samseng bagi memastikan peniaga Melayu ini tidak membuat sebarang kekecohan kerana tidak berpuas hati.
Nampaknya budaya berjanji semata-mata untuk dimungkiri sudah menjadi resam dan identiti Kerajaan PAS Kelantan.
Pada 6hb Mac 2008, Tuan Guru Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat, berjanji kepada ahli-ahli Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB ruang niaga yang selesa di tingkat bawah Bazar Tok Guru yang akan dibina jika PAS kembali dipilih memerintah Kelantan. Bagaimanapun, setelah  menang dan kekal menjadi MB, janji itu mula dimungkiri. Dari janji tingkat bawah, mereka diberikan tingkat satu dan dua oleh menantu Nik Aziz dan tingkat bawah diberi kepada pemaju projek itu.
Peniaga yang cuba berunding telah dihina dan ditekan oleh menantu Nik Aziz sehingga pendedahan dibuat di dalam blog ini. Kerajaan PAS Kelantan kemudian membuat keputusan membeli balik ruang niaga tingkat bawah dari pemaju dengan kos yang dianggarkan melebihi RM23 juta. Apabila Blog ini mendedahkan bagaimana angkara menantu Nik Aziz mengakibatkan kerugian melebihi RM50 juta, Nik Aziz mendakwa ianya disebabkan ‘kesilapan teknikal’ dan menantunya terpaksa mengundurkan diri.
Bagaimanapun kemelut yang dihadapi oleh peniaga terus menimpa-nimpa bila ruang niaga asal yang dijanjikan berukuran lebih 12 x 15 kaki bertukar ke saiz lubang kubur seluar 6 x 8 kaki sahaja. Kerajaan PAS Kelantan kemudian mengambil beberapa langkah yang tidak bertamadun termasuklah menggelarkan peniaga Melayu ini sebagai biawak pasir di dalam usaha memaksa mereka berpindah.
Hari ini, setelah ahli-ahli Persatuan Peniaga Pasar MPKB bersetuju mengalah dan berpindah, mereka seolah-olah ditipu pula.
Kerajaan PAS Kelantan harus telus dan menjelaskan sepenuhnya siapakah ‘golongan istimewa’ ini. Siapakah individu-individu disebalik ‘golongan istimewa’ ini dan mengapakah Bazar yang dijanjikan sebagai hadiah Nik Aziz kepada peniaga Melayu dua hari sebelum PRU 12 bertukar menjadi bahan sendaan kepada peniaga Melayu?
Saya cadangkan setiap exco yang terlibat dalam skandal Lubang Kubur Tok Guru ini, termasuklah Menteri Besarnya dan menantunya sekali mengambil ujian poligraf. Orang yang pertama perlu mengambil ujian yang boleh menentukan seseorang itu menipu ialah YB Dato’ Haji Husam Bin Musa.
Saya dan wakil-wakil persatuan peniaga yang terbabit bersedia untuk turut sama mengambil ujian ini.

No comments:

Post a Comment