Wednesday, May 11, 2011
UMNO 65 TAHUN: PENGUNDI BARU & KEAHLIAN BARU, BAGAIMANA?
DS Najib sekali lagi melaungkan agar jentera BN dan UMNO bersiap sedia untuk menghadapi PRU yang akan datang. Bunyinya seperti makin hampir.
Persoalannya, adakah jentera UMNO sudah bersiap sedia menghadapi PRU yang dijangka paling sengit sejak 1969?
GT berkali-kali mengingatkan agar UMNO memperkemaskan jenteranya, dari peringkat cawangan hinggalah peringkat tertinggi parti. Ia meliputi beberapa perkara yang penting dalam strategi mendapat kemenangan mudah pada PRU yang akan datang.
Terdapat terlalu banyak rungutan dari orang muda berkenaan pendaftaran keahlian atau pengundi yang dibuat melalui UMNO. Berkali-kali mendaftar, namun masih lagi tidak tersenarai. Perkara yang disangka kecil begini sebenarnya bakal menjadi barah. Dan kesukaran ini tentunya dihadapi oleh golongan bawahan yang bekerja untuk parti. Pejuang-pejuang ini berhadapan dengan cacian, makian dan dimarahi apabila terpaksa berulang kali berjumpa untuk mendaftarkan individu yang sama. Yang berada diatas, jangan tidor dan membiarkan pejuang-pejuang barisan hadapan ini terus menjadi tempat melepaskan geram!!!
UMNO harus bergerak dengan agresif dan efektif dalam mendaftarkan seberapa ramai pengundi baru. Proses ini tidaklah semudah yang disangka, kerana masih ramai lagi pemimpin di peringkat akar umbi yang tidak memberi penekanan kepada perkara ini. Alasan lapuk seperti tidak punya masa, tidak dapat berjumpa dengan invididu tersebut, dan sikap sambil lewa dalam perjuangan menyebabkan UMNO menerima kejutan pada PRU yang lepas. Mesej yang solid harus diberikan kepada pemimpin akar umbi kerana merekalah barisan hadapan dalam proses penambahan keahlian dan juga daftar undi.
Penyertaan pengundi baru dan muda amat penting dalam menentukan kesinambungan perjuangan UMNO. Satu program atau mekanisma yang terbaik wajib diwujudkan dalam memastikan UMNO sentiasa dekat di hati pengundi muda ini. Dapatkan mereka, dengarlah denyut nadi orang muda!
Dan di saat ini, terapkanlah unsur-unsur sayangkan Agama, Bangsa dan Negara. Gunakan peluang tersebut untuk menyemai semangat perjuangan UMNO yang menjadi paksi kekuatan Islam dan orang Melayu di bumi bertuah ini. Amatlah merugikan sekiranya UMNO telah berjaya mendaftar mereka, akhirnya pembangkang pula yang diundinya.
Golongan muda adalah wajah negara di hari esok. Pemimpin muda adalah penerus perjuangan generasi terdahulu.
No comments:
Post a Comment