Wednesday, May 11, 2011

PAS BERSAMA UMNO ?

Tidak Salah Pas Kembali Kepada UMNO Kerana Sejarah Pernah Membuktikannya


Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata, tidak salah sekiranya Pas sekali lagi bergabung bersama UMNO meneruskan perjuangan memartabatkan bangsa melayu dan mengukuhkan perpaduan Negara kerana sejarah pernah membuktikan Pas dan UMNO pernah bergabung.
Katanya,selaku Ketua Penerangan UMNO, beliau akan berusaha untuk membawa Pas ke dalam Barisan Nasional (BN) agar orang melayu bersatu dan kukuh seperti dahulu.
“Penyatuan Pas dan UMNO sudah pasti akan menguatkan bangsa Melayu dan agama Islam itu sendiri. Di antara motif penubuhan UMNO itu sendiri adalah mempertahan dan memartabatkan agama Islam.
“Perjuangan UMNO dan Pas sebenarnya sama. Oleh itu tidak salah Pas meninggalkan Pkr yang terang-terangkan tidak mempunyai hala tuju dan berjuang bersama UMNO untuk terus membela nasib rakyat.
“Percayalah, penyatuan ini akan dapat membendung perbalahan dan menyatukan sesama melayu. Melayu sama melayu perlu berhenti bergaduh kerana ianya memenatkan, buang masa , membazir tenaga dan kerja bodoh,” ujarnya di dalam sidang media selepas menyertai Forum 65 Tahun UMNO di sini.
Katanya, penyatuan ini bukan sahaja membawa kebaikan kepada bangsa melayu yang menjadi majoriti rakyat di Negara ini tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya.
“Perpecahan itu tidak pernah menguntungkan dan perpaduan itu tidak pernah merugikan. Kalau kita bersatu semuanya akan baik dan menjadikan Negara ini semakin makmur dari pada yang kita ada sekarang.
“Saya berharap, bersempena dengan Hari Ulang Tahun UMNO yang ke 65 tahun ini akan membawa seribu kebaikan dan Pas membuka ruang untuk bersatu kembali dengan UMNO dan Barisan Nasional,”ujarnya.
Beliau turut mengulas, Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bakal merupakan pilihan raya paling sengit kerana ianya adalah medan bagi membuktikan UMNO dan BN kembali mendapat kepercayaan rakyat.
“Pada tahun 2008, walaupun dapat memerintah tetapi kita hilang majoriti 2/3. PRU akan datang adalah medan penentuan setelah kita merombak dan berusaha keras untuk kembali memenangi hati rakyat.
“Walau bagaimanapun saya yakin kita mampu mendapat majoriti 2/3. Kita telah berusaha dan kini terpulang kepada rakyat untuk menentukan samada mereka mahu terus hidup makmur atau mengambil risiko dengan memilih pembangkang yang tidak pasti hala tujunya,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment