Pak Cu Keri berhadapan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sambil dikelilingi oleh beberapa orang ‘Malaikat’ yang telah berjaya membawa Pak Cu dari pintu neraka ke lobi syurga di Pejabat Menteri Besar Kelantan.
“Ambo dulu Pas, pastu ambo tubik masuk UMNO. Ambo ni Tok Guru, tak juruh. Ambo minum arak, ambo main tino, ambo buwi dadah ke budak-budak….” antara pengakuan yang terhambur dari mulut Pak Cu.
Tok Guru Nik Aziz memandang ke arah Pak Cu yang penuh gaya seorang samseng dan merupakan samseng peliharaan Tan Sri Annuar Musa sebelum ini. Pak Cu adalah lagenda di Kok Lanas. Pengaruhnya di kalangan golongan belia dikatakan kuat sehingga berjaya membantu mencuri undi orang-orang muda dari PAS ke BN.
Perlahan-lahan Tok Guru menggerakkan tangannya ke kepala Pak Cu dan disentuhnya. Sambil tangannya masih di kepala Pak Cu, Tok Guru berkata,
“Tok soh runsing, selagi perjuangan Pak Cu dengan PAS lepas ni, selagi Pak Cu tolong PAS, syurgo doh untuk Pak Cu….” kata Nik Aziz menjaminkan syurga kepada Pak Cu.
Yang belum pasti ialah berapa hektar sisa-sisa balak di Kelantan yang akan tergadai untuk memberikan syurga tersebut. Sama-samalah kita nantikannya.
Pak Cu adalah diantara beberapa aktivis politik yang beruntung kerana sempat menempah tiket ke syurga menaiki roket. Ini kerana ramai aktivis-aktivis yang dari dahulu bersama PAS berbekalkan perjuangan Islam sejati masih lagi menanggung pelbagai hutang piutang dan ada yang sudah berdekad bangkrap tetapi tidak dapat ditebus-tebus lagi. Maklumlah, zaman mereka mula bersama PAS, belum ada roket untuk ke syurga.
Bagaimanapun, tahniahlah kepada mereka yang telah berjaya mencuri Pak Cu seminggu lepas dari Annuar Musa yang sudah tidak lagi dapat meluluskan projek-projek KADA kepada Pak Cu sejak ketiadaan kuasa eksekutif di KADA.
Suka saya menyingkap keluhan seorang ADUN BN Kelantan dua tiga hari lepas kepada saya.
Katanya, “budak-budak ambo report ke ambo pasal kaji selidik hok demo tu buat, kata demo tu, mac cik pakcik kampung tu semua sayang ke ambo. Semua kata, Tok Wakil kita bagus, tak rajin kita boleh Tok wakil serupo ni…”
“kalau sakit, dia bawak ubat, kalu demam, dia hantar gi hospital, kalau tak dok pitih, dia kira bagi bantuan, kalau anak tak do kerja, dia tolong gi telefon sana sini cari kerja…” Sambung ADUN itu.
“Lepas tu budok ambo tanya, pastu mak cik ngundi sapa? Jawab mak cik pak cik tu semua, kito tetap undi PAS. Budok ambo tanya lagi, pastu ngundi akan datang, mak cik pak cik nak ngundi Tok Wakil hok baik ini la?”
“Tak leh awe wei… mak cik sayang ke Tok Wakil ni, tapi gak mak cik doh tua, pok cik mung tu pun dah tua doh… kita tak leh ngundi Tok Wakil ni, sebab dia dacing…. kalau dia masuk bulan, mak cik mesti doh ngundi dia.”
“Mak cik kata dia bagus, bakpo tok boleh ngundi dia? Budok ambo tanya lagi…” kata ADUN itu.
“Mak cik pok cik nok gi syurga awe….” ADUN itu meniru cara orang kampung itu memberi jawapan kepada pekerja partinya.
Saya hanya mampu tersenyum. Itulah kekuatan pengaruh janji syurga yang dijaja oleh PAS kepada orang-orang Melayu.
Untuk pilihanraya akan datang, sudah tentu, janji syurga PAS akan menjadi lebih kredibel dengan adanya roket DAP. Bagi mak cik dan pak cik di kampung-kampung yang tidak mendapat habuan syurga di dunia seperti yang akan diterima oleh Pak Cu dan beberapa orang-orang kuat UMNO Kelantan yang telah memasuki PAS terdahulu, sudah tentu tiada kereta Harrier atau Mercedes Benz untuk mereka nikmati sebelum hembusan nafas terakhir tetapi setidak-tidaknya, dapatlah mereka bermimpikan roket yang akan membawa mereka meneroka cakerawala sebelum mendarat di Putrajaya.
Satu undi untuk PAS ialah satu undi untuk DAP.
Majoriti masyarakat Cina menolak mengundi MCA, GERAKAN dan lain-lain parti Cina dalam BN kerana bagi mereka parti-parti Cina ini hanya berada di bawah telunjuk UMNO.
Hari ini mereka lebih suka mengundi DAP kerana bagi mereka DAP tidak berada dibawah telunjuk Parti PAS.
Mungkin masanya orang-orang Melayu pula belajar duduk di bawah telunjuk DAP sambil menanti syurga yang dijanjikan Nik Aziz.
Suka saya mengira berapa banyak rumah urut, pusat perjudian dan pusat penjualan arak serta kilang arak yang telah ditutup di Selangor dan Pulau Pinang sejak PAS bersama dengan DAP.
Setahu saya, usaha untuk menyekat arak dijual di kawasan majoriti Melayu dan usaha untuk menyekat orang-orang Melayu bekerja menghidang arak kepada pengunjung-pengunjung pusat hiburan juga telah gagal dilaksanakan di negeri-negeri tersebut. Tidak lain tidak bukan kerana DAP tidak duduk dibawah telunjuk PAS.
Apabila roket yang membawa cita-cita PAS itu mendarat di Putrajaya selepas PRU 13 kelak, saya tetap merasakan Genting Highlands akan terus menjadi pusat perjudian, begitu juga dengan kilang-kilang arak, loteri dan segala bentuk perjudian berlesen juga akan diteruskan.
Jika benar bahawa mengundi PAS akan membawa kita lebih dekat ke syurga, di dalam manifesto PRU akan datang hendaklah dimasukan pembubaran segala bentuk operasi maksiat di Malaysia terutama di negeri-negeri yang majoriti penduduknya adalah orang-orang beragama Islam.
Saya berharap tiada yang akan menjawab, “dekat Mekah pun ada maksiat” sebagai alasan. Saya juga berharap tiada yang menjawab, “maksiat ini semua diwarisi dari zaman UMNO”.
Kalau itulah alasannya, tidak perlulah Pak Cu berjumpa Nik Aziz untuk ke syurga kerana sewaktu bersama Annuar Musa pun beliau boleh mengambil inisiatif sendiri untuk ke syurga. Melainkanlah Pak Cu Keri melihat roket DAP itu umpama buraq yang membawa Rasulullah S.A.W dari Masjidil Haram ke Masjidil Al Aqsa dan ke Hadrathul Qudus.
Tetapi harus kita ingat, sudikah DAP membenarkan kita menggunakan roket itu sebagai Buraq?
No comments:
Post a Comment