Thursday, May 26, 2011

Enam rebut Naib Presiden



KUALA LUMPUR 26 Mei - Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah dan Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad akan 'mewakili' golongan ulama berhadapan dengan empat calon profesional bagi jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu.
'Pertembungan' itu disahkan hari ini yang merupakan hari terakhir pemimpin yang mendapat pencalonan menyatakan pendirian mereka sama ada mahu bertanding atau tidak.
Hari ini, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub mengesahkan akan mempertahankan jawatanNaibPresiden, menjadikan beliau penyandang kedua berbuat demikian.
Sebelum ini seorang lagi penyandang jawatan tersebut iaitu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turut menyatakan kesediaan mempertahankan kedudukannya. Bagaimanapun Tuan Ibrahim Tuan Man yang merupakan salah seorang Naib Presiden tidak berbuat demikian kerana bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Dua lagi calon yang akan bertanding ialah Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaludin.
Ini merupakan kali kedua Salahudin, Mahfuz dan Mohd. Amar bertanding manakala Husam pernah menyandang jawatan Naib Presiden mulai tahun 2005 sebelum tewas dalam perebutan kerusi Timbalan Presiden pada 2009.Bagi Nizar pula, ini merupakan cubaan pertamanya selepas berjaya memperoleh undi tertinggi bagi kerusi Ahli Jawatankuasa Pas pusat dalam pemilihan lalu. Begitu juga Idris.
Pemilihan Pas akan berlangsung pada 4 Jun ini di Taman Melewar, Gombak sempena muktamar tahunan ke-57 parti itu yang akan dirasmikan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 3 Jun.Pada pemilihan 2009, dua dari tiga kerusi Naib Presiden dikuasai oleh golongan profesional. Sementara itu bagi jawatan Timbalan Presiden, ia bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara penyandang jawatan, Nasharudin Mat Isa, Pesuruhjaya Pas Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Mohamad Sabu.

No comments:

Post a Comment