Wednesday, May 25, 2011

PETROL RON95

Tiada kewarasan bagi Kerajaan Malaysia menaikkan harga petrol RON95 dan lain-lain bahan api berteraskan petroleum sehingga Kerajaan mampu menjelaskan dengan benar dan jujur beberapa isu di bawah,
  1. Berapakah peningkatan pendapatan PETRONAS dan Kerajaan Malaysia sejak kenaikan harga petroleum dunia.
  2. Berapa tong minyak mentah TAPIS Blend 44° yang dikeluarkan oleh PETRONAS sehari.
  3. Berapa tong minyak mentah dan namakan jenis minyak mentah tersebut, yang diimport oleh PETRONAS untuk kegunaan tempatan.
  4. Dimanakah dalam dokumen-dokumen rasmi Kerajaan Malaysia yang tercatat dengan jelas jumlah ringgit yang dibayar bagi membiayai subsidi petroleum.
Menurut data rasmi harga pasaran minyak mentah dunia, minyak mentah Malaysia, dikenali sebagai Tapis Blend 44°, berikut adalah harga minyak mentah tersebut di pasaran global:
(i)             8 April 2011 – USD127.94
(ii)            15 April 2011 – USD131.20
(iii)           22 April 2011 – USD129.19
(iv)          29 April 2011 – USD132.26
(v)           6 Mei 2011 – USD130.74
(vi)          13 Mei 2011 – USD120.47
Sepanjang tempoh kenaikan harga minyak global ini, Malaysia, Tapis Blend 44° adalah minyak mentah tertinggi harganya di dunia.
Berikut adalah harga minyak mentah di pasaran dunia mengikut negara-negara pengeluar di Timur Tengah pada 13 Mei 2011.
(i)             Abu Dhabi, Murhan 39° – USD111.27
(ii)            Dubai, Fateh 32° – USD106.74
(iii)           Iran, Heavy 30° – USD105.87
(iv)          Iran, Light 34° – USD109.86
(v)           Iran, Kirkuk 36° – USD110.69
(vi)          Kuwait, Kuwait 31° – USD105.77
(vii)         Qatar, Dukhan 40° – USD109.92
(viii)        Saudi Arabia, Arabian Heavy 27° – USD103.59
(ix)          Saudi Arabia, Arabian Light 34° – USD108.84
(x)           Saudi Arabia, Arabian Arabian Medium 31° – USD108.84
(xi)          Oman, Oman Blend 34° – USD107.29
Pada pertengahan 2008, saya dan YB Dato’ Haji Husam bin Musa pernah menerbitkan sebuah buku bagi menjelaskan mengapa harga bahan bakar di Malaysia tidak perlu dinaikan. Saya juga ada menulis dan menyertakan data-data di blog ini bagi menyedarkan masyarakat mengapa Kerajaan Malaysia sebenarnya tidak terjejas dari segi kewangan disebabkan peningkatan harga minyak global.
Secara umumnya, rejim petroleum Malaysia digerakkan dengan menjual minyak mentah berkualiti tinggi tempatan dan membeli minyak mentah berkualiti lebih rendah untuk kegunaan tempatan.
Saya bersetuju bahawa subsidi adalah tidak elok untuk ekonomi pada jangka panjang. Saya bersetuju bahawa tabiat memberi subsidi secara berpanjangan adalah tabiat yang tidak sihat. Tetapi adakah benar Kerajaan Malaysia menanggung subsidi bahan bakar? Jika benar, dimanakah dalam dokumen rasmi Kerajaan Malaysia menunjukkan jumlah tersebut. Atau ianya sebenarnya adalah kos lepas (opportunity lost).
Kerajaan Malaysia perlu dengan jelas, menerusi PETRONAS atau mana-mana agensinya mengeluarkan data jumlah tong minyak mentah yang diimport negara untuk kegunaan tempatan setiap hari dan jumlah tong minyak mentah tempatan yang dieksport keluar negara setiap hari. Mengapa harus rasa tergugat di dalam mengeluarkan data tersebut. Bagilah rakyat Malaysia lihat dengan mata mereka sendiri dan biarkan otak kami mencongak apakah kos mengimport minyak mentah untuk kegunaan tempatan dicampur dengan kos penapisannya tidak lagi tertanggung oleh wang yang diperolehi daripada menjual minyak mentah tempatan ke luar negara.
Kesan Kenaikan RON95
Sehingga maklumat dan data-data ini menjadi tatapan umum, wajib bagi kita mengandaikan bahawa tujuan Kerajaan mengkaji semula subsidi pada RON95 antara lain bertujuan untuk membuat Kerajaan memperolehi lebih faedah daripada keuntungan PETRONAS kesan daripada kenaikan harga minyak global.
Alasan kerajaan pula seandainya kerajaan dapat berjimat, maka wang hasil potongan subsidi RON95 itu akan dapat digunakan untuk faedah rakyat. Maaf, saya tidak dapat bersetuju sama sekali.
Sebab-sebabnya adalah seperti berikut,
  1. Andaikan RM30 billion adalah jumlah yang diperolehi kerajaan hasil ‘berjimat’ dengan mengurangkan subsidi, berapakah yang akan dinikmati semula oleh rakyat?
  2. RM30 billion yang digunakan untuk subsidi adalah lebih besar faedahnya daripada RM30 billion yang dilaburkan untuk projek-projek pembangunan untuk kebaikan rakyat. Ini kerana RM30 billion sudsidi RON95 akan dinikmati oleh semua rakyat samada mereka memiliki kenderaan atau tidak.
  3. Tetapi RM30 billion yang digunakan untuk menyiapkan projek untuk rakyat, mungkin menghasilkan projek yang bernilai RM10 billion sahaja, kerana RM20 billion lagi terpaksa dihabiskan untuk perkhidmatan perunding dan kajian serta hangus sebagai kos keuntungan satu dua syarikat.
  4. Kesan menjimatkan RM30 billion dari subsidi RON95 sudah pasti akan menyebabkan kenaikan harga semua jenis barangan keperluan. Kerajaan tidak perlu menipu dengan cuba menyakinkan rakyat bahawa mereka berupaya mengawal kenaikan harga barang. Itu alasan lapuk zaman Abdullah Ahmad Badawi dan Shahrir Samad.
  5. Kesan paling menyedihkan ialah, akibat penjimatan subsidi RON95 akan menindas mereka yang sebenarnya tidak memiliki kenderaan sendiri dan orang-orang miskin akibat daripada kenaikan kos kehidupan kesan dari ‘penjimatan’ kerajaan.
Keputusan untuk berjimat tidak boleh dibuat di dalam makmal berhawa dingin dengan punggung berlapikan kerusi empuk. Tidakkah cukup kerajaan Barisan Nasional yang lampau sewaktu pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi menyeksa golongan rakyat yang miskin dengan idea-idea yang bercambah dalam pejabat yang nyaman?
Kononya rakyat diberi pulangan daripada kenaikan harga bahan bakar menerusi pemberian rebat kepada pemilik kenderaan apabila memperbarui cukai jalan mereka. Siapa yang untung? Sudah tentu mereka yang memperolehi banyak kenderaan. Siapakah mereka yang memiliki banyak kenderaan? Apakah orang-orang miskin dikampung yang terpaksa terbeban akibat kenaikan kos barang keperluan itu memiliki banyak kenderaan?
Kesan beban kenaikan RON95 akan dirasai oleh semua rakyat Malaysia walaupun mereka yang tidak ke pam stesen untuk mengisi minyak. Ada yang mampu menanggungnya, ada yang terpaksa menanggungnya dan sudah pasti ramai juga yang tidak berupaya menanggungnya.
Apakah Barisan Nasional berupaya menanggungnya?
Kerajaan boleh berkempen supaya rakyat mengubah cara hidup mereka bagi berhadapan dengan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan. Rakyat juga boleh berkempen untuk mengubah kerajaan bagi berhadapan dengan Pilihanraya Ke 13 kelak.
Maaf, saya merasakan pulangan yang diperolehi menerusi berjimat cara ini adalah sesuatu yang tidak waras buat masa ini.

No comments:

Post a Comment